Sunday 2 September 2012

Merdeka

Sajak: Merdeka, Merdeka

by Cikgu Mohamad Musip on Thursday, August 30, 2012 at 12:59am ·

Merdeka, merdeka, merdeka
diksi mulia yang lazim didengari
diksi keramat bagi negara berdaulat
kalimat suci bagi negara sejahtera ini
kalimat murni buat warga kasih pertiwi.

Merdeka jangan hanya kata
Merdeka jangan sekadar ujar
Merdeka jangan cuma ucapan
Merdeka ialah semantik di sanubari
Merdeka ialah logik dan fitrah di azali

Usah sering bertanya apa diperoleh
bertanyalah apa yang disumbangkan
sumbangkanlah apa-apa yang dipinta
waimah muafakat dan mengasihi watan
menolak perjuangan palsu paksinya nafsu
menjiwai islah perjuangan sejati berjati diri.

Merdeka, Merdeka, Merdeka
55 tahun usia bumi aman bertuah ini
Kita syukuri dengan hikmah dan hemah.

Mohamad Musip
30 Ogos 2012, Hotel Eastin, Petaling Jaya

Tazkirah Bahasa

  • Tazkirah Bahasa:

    Gunakan kata arah dengan betul dalam ayat.

    Dalam ayat 1(a), rangkai kata "atas kesudian" ialah rangkai kata yang betul cara pembentukannya. Perkataan "kesudian" bukanlah kata konkrit, lantas kata arah "atas" tidak perlu digunakan sekali dengan kata sendi nama "di".

    Ayat 1(b) ialah ayat yang tidak murni. Contoh penggunaan yang betul bagi kata arah "atas" yang didahului kata sendi nama "di" ditunjukkan pada ayat 1(c).

    1(a) Terima kasih atas kesudian tuan menghadiri majlis ini.

    1(b) Terima kasih di atas kesudian tuan menghadiri majlis ini.

    1(c) Novel itu saya letakkan di atas meja.

    Perkataan "meja" dalam contoh di atas ialah kata konkrit, justeru penggunaan kata sendi nama "di" sebelum kata arah "atas" adalah betul.