PENJODOH BILANGAN
Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan untuk membilang kata nama konkrit seperti orang, haiwan, benda, tempat dan sebagainya.
Berikut ialah senarai penjodoh bilangan yang digunakan dalam bahasa Melayu.
A | ||||
angkatan | ||||
B | ||||
bakul | bakul | batang | bentuk | berkas |
bidang | biji | bilah | botol | buah |
buku | bungkus | butir | ||
C | ||||
carik | cebis | cekak | cubit | cucuk |
D | ||||
das | deret | |||
E | ||||
ekor | ekar | |||
G | ||||
gelung | gemal | genggam | gerombolan | gugus |
gulung | gumpal | |||
H | ||||
helai | hidang | hiris | ||
I | ||||
ikat | ||||
J | ||||
jambak | jambangan | jemput | jengkal | |
K | ||||
kajang | kaki | kalung | kandang | kapur |
kaum | kawan | kelompok | kepal | kepul |
keping | kerat | ketul | kotak | kumpulan |
kuntum | ||||
L | ||||
laras | lembar | lingkar | longgok | |
M | ||||
mangkuk | mayang | |||
N | ||||
naskah | ||||
O | ||||
orang | ||||
P | ||||
papan | pasang | pasukan | patah | petak |
Pintu | potong | pucuk | puntung | |
R | ||||
rasa | rangkai | rangkap | rawan | rincih |
ruas | rumpun | |||
S | ||||
senduk | sikat / sisir | susun | suap | |
T | ||||
tandan | tangkai | teguk | timbun | titik |
tingkat | tompok | tongkol | ||
U | ||||
ulas | untai | urat | usul | utas |
Perhatikan penggunaan penjodoh bilangan dalam ayat-ayat di bawah ini.
Penjodoh Bilangan | Digunakan untuk | Ayat Contoh |
angkatan | Kumpulan benda dan manusia. Contoh: kapal perang, penulis, pelukis, tentera, sasterawan | 1 Tiga angkatan perang itu telah diserang hendap oleh pihak musuh. 2 Dua orang anggota angkatan tentera Filipina telah terbunuh dalam kejadian pergaduhan itu. |
baris | Benda atau manusia yang berbaris. Contoh: bangku, kedai,, murid, orang, pokok, rumah, | 1 Tiga baris tulisannya itu tidak dapat dibaca. 2 Sebaris kedai itu telah dicat dengan warna kuning. |
batang | Benda-benda yang panjang. Contoh: sungai, pen, pensel, gigi, berus gigi, tiang, lilin | 1 Sepuluh batang tiang lampu itu telah condong. 2 Tujuh batang jejari basikal itu telah patah. |
bentuk | Benda-benda yang berkeluk. Contoh: mata kail, cincin, subang | 1 Karim memancing udang itu dengan menggunakan sebentuk mata kail yang halus. 2 Tiga bentuk cincin itu telah berkarat. |
bidang | Benda-benda yang luas bidangnya. Contoh: layar, tikar, tanah, sawah, permaidani | 1 Pak Kassim telah menjual sebidang sawahnya untuk melangsaikan hutangnya itu. 2 Dua bidang permaidani itu telah digigit tikus. |
biji | Benda-benda yang bersaiz kecil. Contoh: buah-buahan, telur | 1 Setiap pagi, Kamal makan dua biji telur ayam separuh masak. 2 Pak Mat membawa pulang tiga biji nangka muda dari kebunnya. |
bilah | Benda-banda yang tajam. Contoh: pisau, keris, parang | 1 Tiga bilah parang yang tumpul itu telah diasah oleh Salim. 2 Shima menyiang ikan itu dengan sebilah pisau. |
buah | Benda-benda yang tidak tentu bentuk atau saiznya. Contoh: kenderaan, bandar, negara, bangunan | 1 Tiga buah beg kulit itu dijual dengan harga yang murah. 2 Di dalam bilik itu terdapat beberapa buah almari lama. |
buku | Benda-benda yang berbuku atau berbongkah. Contoh: sabun, roti | 1 Zaidah menghulurkan sebuku roti keras kepada adiknya. 2 Dia meletakkan tiga buku sabun itu di dalam almari. |
butir | Benda-benda yang kecil saiznya dan agak bulat bentuknya. Contoh: telur, manik, permata | 1 Yusri telah memecahkan dua butir telur ayam. 2 Dua butir mutiara itu amat tinggi nilainya. |
carik/cebis | Benda-benda yang telah dikoyakkan menjadi cebisan kecil. Contoh: kain, kertas | 1 Secebis kertas yang berwarna ungu terletak di atas meja tulis itu. 2 Jururawat itu membalut luka pada tangan pesakit itu dengan secarik kain putih. |
cucuk | Benda-benda yang dicucuk dengan lidi. Contoh: sate, buah-buahan | 1 Mereka memesan tiga puluh cucuk sate. 2 Manan menghulurkan dua cucuk buah mangga itu kepada adiknya. |
das | Bunyi tembakan atau letupan senjata api. Contoh: senapang, meriam, pistol | 1 Dua das tembakan penembak upahan itu tidak menepati sasarannya. 2 Dari arah bukit itu kedengaran bunyi beberapa das tembakan senapang. |
ekor | Haiwan atau binatang. Contoh: ular, kuda, rusa, gajah, kucing, kambing | 1 Zaki memelihara beberapa ekor anak ayam. 2 Dua ekor kuda itu gagal sampai ke garisan penamat kerana kakinya tercedera. |
gugus | Benda yang bergugus atau berangkai. Contoh: buah anggur, kelapa sawit, pulau | 1 Tiga gugus buah anggur yang dibeli oleh Osman itu telah busuk. 2 Beratnya segugus kelapa sawit itu ialah 100 kilogram. |
helai | Benda-benda yang nipis dan lebar. Contoh: baju, kain batik, tudung, kertas, daun, seluar | 1 Sarimah memakai sehelai selendang merah ke majlis itu. 2 Beberapa helai daun kari dimasukkan ke dalam bahan penumis itu. |
hiris | Benda-benda yang dipotong nipis. Contoh: bawang, daging, tomato, timun | 1 Aini meletakkan dua hiris bawang merah itu di piring. 2 Puan Nina menghulurkan beberapa hiris timun kepada suaminya. |
ikat | Benda-benda yang berikat. Contoh: rotan, kayu, sayur-sayuran, buah-buahan | 1 Dua ikat sayur bayam itu dijual dengan harga RM1.00. 2 Adik membeli dua ikat rambutan gading. |
jambak | Contoh: kunci, bunga | 1 Aris menghadiahi isterinya itu sejambak bunga. 2 Kassim menggantungkan sejambak kunci di tepi pintu biliknya. |
kaki | Benda-benda yang seolah-olah berkaki. Contoh: payung, cendawan, bunga | 1 Siti meminta ibu membelikannya sekaki payung. 2 Dua kaki cendawan pelanduk itu telah busuk. |
kawan | Binatang Contoh: kambing, burung, kerbau, lembu, gajah, zirafah | 1 Sekawan burung merpati terperangkap di dalam jaring yang dipasang oleh pemburu itu. 2 Sekawan kerbau sedang berkubang di tengah sawah itu. |
kelompok | Benda, manusia, haiwan, bintang, binatang, awan dan pulau yang berkumpul | 1 Beberapa kelompok bintang kelihatan di langit. 2 Dua kelompok awan itu kelihatan berarak ke sebelah timur. |
kepal | Benda-benda yang diambil dengan genggaman tangan. Contoh: nasi, pulut, beras, pasir | 1 Ibu menyuapkan sekepal nasi ke dalam mulut adik. 2 Karim mengambil dua kepal pulut kuning itu lalu beredar dari situ. |
keping | benda-benda yang nipis. Contoh: kertas, papan, roti, gambar, biskut, kad | 1 Dua keping poskad itu diterimanya dua hari yang lalu. 2 Di atas meja tulis itu terdapat beberapa keping gambar ayah Marzuki. |
kerat | Benda-benda yang telah dikerat-kerat. Contoh: kayu, rotan, buluh, pensel | 1 Ayah menggunakan sekerat rotan untuk memukul ular itu. 2 Dua kerat kayu itu telah reput. |
ketul | Benda-benda yang berketul. Contoh: batu, air batu, daging | 1 Hassan mengambil seketul batu lalu melontarkannya ke arah anjing itu. 2 Dua ketul sabun itu berjenama Lux. |
kotak | Benda-benda yang diisikan di dalam kotak. Contoh: mancis, sabun, rokok | 1 Pak Ali menyuruh Salman membelikannya sekotak mancis api. 2 Tiga kotak air minuman itu ialah hadiah daripada abangnya. |
kuntum | Contoh: bunga | 1 Di sanggul wanita itu terselit sekuntum bunga. 2 Dua kuntum bunga mawar itu telah layu. |
laras | Benda-benda yang berlaras. Contoh: meriam, senapang | 1 Perompak tu bersenjatakan selaras senapang patah. 2 Dua laras meriam lama itu masih tersimpan di Muzium Pulau Pinang. |
lembar | Benda-benda yang panjang. Contoh: benang, tali | 1 Beberapa lembar benang digunakan untuk mengikat pensel itu. 2 Selembar tali rafia tersangkut pada dinding bilik itu. |
naskhah | Contoh: buku, majalah, surat khabar, kitab | 1 Siti membeli senaskhah surat khabar. 2 Rokiah melanggan dua naskhah majalah wanita setiap bulan. |
orang | manusia/orang | 1 Dua orang pelancong Jepun itu memuji kecantikan negara Malaysia. 2 Lima orang juutera tempatan terbunuh dalam kemalangan ngeri jalan raya itu. |
papan | Benda-benda yang berkeping-keping. Contoh: petai, mercun | 1 Ayah meminta adik menyerahkan dua papan mercun itu kepadanya. 2 Kamisah membeli beberapa papan petai untuk dibuat ulam. |
pasang | benda-benda yang berpasangan. Contoh: kasut, anting-anting, subang, baju | 1 Halim membeli sepasang but bola berjenama Nike. 2 Dua pasang subang itu bernilai RM5000.00. |
patah | perkataan | 1 Tidak sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. 2 Hamid menulis beberapa patah perkataan pada kertas itu. |
pintu | rumah atau kedai yang panjang dan berbaris. | 1 Tiga pintu rumah kedai itu telah dijual kepada Bank Rakyat. 2 Hartawan itu memiliki beberapa pintu rumah sewa. |
potong | Benda-benda yang telah siap dipotong. Contoh: kuih, daging, roti | 1 Dua potong kuih lapis itu sedang dihurung lalat. 2 Beberapa potong kayu api itu masih bernyala. |
pucuk | Rebung, surat, pistol | 1 Kakak menerima sepucuk surat daripada abang yang sedang belajar di London. 2 Hasnah merebus dua pucuk rebung itu untuk menghilangkan rasa pahitnya. |
puntung | Rokok atau kayu yang berlebih daripada yang dibakar | 1 Di atas lantai itu terdapat beberapa puntung rokok. 2 Hassan memindahkan beberapa puntung kayu api itu ke bawah rumah. |
rangkap | Benda-benda yang berangkap. Contoh: pantun, syair, sajak, gurindam, seloka | 1 Kakak Salmah mengarang beberapa rangkap pantun. 2 Ali tidak faham akan maksud dua rangkap sajak itu. |
rawan | jaring atau jala | 1 Pak Harun mencari ikan dengan menggunakan serawan jala. 2 Dua rawan jaring itu digunakan untuk menangkap ikan laut dalam. |
sikat/sisir | Benda-benda yang berbentuk sikat atau sisir. Contoh: pisang | 1 Tiga sikat pisang emas itu telah dijualnya sebentar tadi. 2 Dua sisir pisang nangka itu telah dimakan burung. |
tandan | Buah-buahan yang bertandan atau bergugus-gugus. Contoh: kelapa, pisang | 1 Dua tandan kelapa itu berjaya diturunkan oleh monyet itu. 2 Kassim memikul setandan pisang dari ladangnya. |
tangkai | Benda yang bertangkai. Contoh: bunga, buah-buahan yang bertangkai | 1 Kamil memetik setangkai buah rambutan yang telah masak itu. 2 Zaidi memetik dua tangkai bunga ros lalu memberikannya kepada Zainab. |
ulas | Isi buah-buahan. Contoh: limau, nangka, cempedak, durian | 1 Beberapa ulas nangka itu telah dimakan ulat. 2 Siti meletakkan dua ulas cempedak itu pada piring. |
untai | Contoh: madah, pantun, syair, sajak | 1 Percubaannya untuk menulis seuntai madah akhirnya tercapai juga. 2 Tamrin menulis seuntai sajak dalam buku catatan hariannya itu. |
urat | Contoh: benang, rambut, tali | 1 Pada nasi itu terdapat seurat benang hitam. 2 Beberapa urat rambutnya telah bertukar warna. |
utas | Contoh: tali, rantai | 1 Pak Seman menggunakan seutas tali belati untuk mengikat lembu tu. 2 Kakak memakai seutas rantai emas yang baru dibelinya itu. |
INFO BAHASA
· Dari segi penggunaan, penjodoh bilangan hanya digunakan pada kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tentu, kata bilangan himpunan, dan kata bilangan tak tentu beberapa sahaja.
Contoh:
1 Tiga batang pokok itu perlu ditebang.
2 Beberapa buah kerusi itu perlu dibaiki.
3 Kedua-dua batang anak sungai itu telah tercemar.
· Dari segi penggunaan, benda abstrak tidak perlu diletakkan penjodoh bilangannya.
Contoh:
1 (a) Kata Zul, “Sebuah pertunjukan sarkas akan diadakan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil pada penghujung bulan ini.” (X)
(b) Kata Zul, “Suatu pertunjukan sarkas akan diadakan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil pada penghujung bulan ini.” (√)
KESILAPAN UMUM
1 Kesilapan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan tentu.
Contoh:
(a) Tiga besi itu sudah karat. (X)
* Tiga batang besi itu sudah karat. (√)
(b) Pada dahan pokok itu ada lima burung. (X)
* Pada dahan pokok itu ada lima ekor burung. (√)
2 Kesilapan tidak meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan himpunan.
Contoh:
(a) Kedua-dua buku itu masih elok. (X)
* Kedua-dua buah buku itu masih elok. (√)
(b) Keempat-empat kotak itu penuh berisi emas. (X)
* Keempat-empat buah kotak itu penuh berisi emas. (√)
3 Kesilapan meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan tak tentu.
Contoh:
(a) Banyak buah rumah di kawasan itu didirikan secara haram. (X)
* Banyak rumah di kawasan itu didirikan secara haram. (√)
(b) Semua batang pokok di tepi jalan itu akan ditebang. (X)
* Semua pokok di tepi jalan itu akan ditebang. (√)