Wednesday 25 July 2012

Mengapakah Bahasa Melayu Dilupakan Selepas Pelajar Meninggalkan Alam Persekolahan?

by Cikgu Mohamad Musip on Wednesday, June 27, 2012 at 6:24pm ·



Saya siarkan sepenuhnya soalan oleh bekas pelajar saya dan jawapan saya berhubung isu di atas."Salam Cikgu. Saya musykil kenapa kita kurang menggunakan bahasa selepas tamat prsekolahan bila rata rata kita memasuki institusi pengajian tinggi. Saya berpendapat kita kurang menitip pendapat maklumat dan ilmu dalam bentuk penulisan kerana tiada 'clear train of thought'. Bila kita tidak faham atau jelas tentang apa yang ingin disampaikan sudah pasti gaya penulisan kita juga bercelaru. Masalah ini bukan sahaja menimpa para pelajar malah dalam kalangan mereka yang bekerja.Impaknya dapat dilihat dari gaya penulisan yang tidak jelas dan kabur sehingga tidak berjaya menyampaikan maklumat yang ingin disampaikan."

Salam Fi-sha: Izinkan saya menitipkan pandangan saya di sini.

1. Sistem peperiksaan (SPM) menyebabkan rata-rata pelajar beranggapan bahawa kemuncak pembelajaran ialah apabila menduduki peperiksaan. Selepas SPM, pelajar-pelajar sudah mula mengikuti jurusan teknikal, bukan bahasa;

2. Sebahagian besar pelajar sudah diasuh dan diasosiasikan bahawa untuk maju, bahasa Inggerislah perantaranya. Jadi, kecondongan pelajar ialah bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris dan pada masa yang sama, bahasa Melayu hanya berstatus "asal faham sudah";

3. Berkait dengan yang pertama, sebahagian besar pelajar hari ini menjurus kepada bidang teknikal. Bidang ini telah diasosiasikan (dihubungkaitkan) dengan bahasa Inggeris. Sewaktu pembelajaran dalam jurusan teknikal dirasakan mudah dan selesa dengan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Melayu jadi merosot, sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa yang dinamis, tidak statik. Banyak orang tidak sedar, misalnya ejaan yang betul bagi perkataan "e-mel" yang diimbuhkan ialah "di-e-melkan", "meng-e-melkan" dan "peng-e-melan";

4. Penguasan laras dan gaya penulisan sudah berakhir sewaktu berada di bilik darjah. Selepas tamat persekolahan, siapakah yang mahu mempedulikan soal kohesi dan koheren (pertautan dan pertalian), soal penanda wacana, soal ejaan, dan soal kegramatisan ayat? Itulah sebabnya generasi baharu tidak cekatan/kompeten dalam penulisan baku, ditambah lagi oleh pengaruh perkembangan bahasa percakapan, bahas rojak, slanga, singkatan yang leluasa;

5. Aliran pemikiran dan perkembangan teknologi semasa mendorong generasi baharu (anak-anak muda) berasa pelik dan asing untuk mempelajari bahasa Melayu, seolah-olah bahasa Melayu untuk orang lama atau untuk ditekuni oleh guru bahasa sahaja. Saya sendiri gagal mendekatkan anak-anak saya kepada minat saya dalam berpuisi dan berbahasa. Dalam pada itu, ada juga kes kekecualiannya.


No comments:

Post a Comment